ISHEROOP SINGH BIN AMARSHAH KOLEJ KOMUNITI KELANA JAYA
ABSTRAK: Bolt and Nut Identifier (BANI) merupakan satu inovasi yang dibangunkan bagi membantu pelajar dan pengguna industri mengenal pasti saiz bolt dan nat dengan lebih cepat, tepat dan sistematik. Projek ini tercetus hasil pemerhatian terhadap masalah yang sering dihadapi oleh pelajar semasa menjalankan kerja penyenggaraan, khususnya dalam menentukan saiz fasteners yang sesuai menggunakan kaedah manual seperti cuba-jaya atau penggunaan vernier caliper. Situasi ini menyebabkan pembaziran masa, peningkatan risiko kesilapan pemilihan alat serta boleh menjejaskan keselamatan kerja. BANI direka dalam bentuk alat mudah alih bersaiz poket yang mempunyai slot pengukuran standard bagi bolt dan nat mengikut piawaian metrik seperti M8 hingga M21. Pembangunan inovasi ini melibatkan proses lakaran reka bentuk, pemilihan bahan plastik ABS, penggunaan teknologi pencetakan 3D serta pengujian keberkesanan terhadap pengguna sasaran. Kaedah pengujian dilakukan dengan membandingkan proses pengenalpastian saiz bolt dan nat menggunakan BANI dengan kaedah manual. Hasil kajian menunjukkan penggunaan BANI berjaya mengurangkan kadar kesilapan hampir 90% serta mempercepatkan proses penyenggaraan. Selain meningkatkan keyakinan pelajar dalam pemilihan saiz fasteners yang tepat, inovasi ini turut membantu meningkatkan kecekapan kerja dan keselamatan dalam persekitaran bengkel. Secara keseluruhannya, BANI mempunyai potensi tinggi untuk diketengahkan sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta produk sokongan industri penyenggaraan yang praktikal, kos efektif dan mudah digunakan.
KATA KUNCI: Bolt, Nut, Fasteners, Penyenggaraan Industri, Inovasi Pendidikan