Sr. WAN MOHD HAKIMIN BIN WAN SHAFIE POLITEKNIK SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN
Alat ukur merupakan peralatan penting dan aset yang mudah alih di gunakan semasa amali bagi kursus Civil Engineering Survey di Jabatan Kejuruteraan Awam. Pelaksanaan amali kursus Civil Engineering Survey adalah melibatkan penggunaan pelbagai peralatan ukur seperti Automatic Level, Theodolite, Total Station serta aksesori berkaitan. Harga dan penyelenggaraan peralatan atau aset ukur adalah tinggi sehingga boleh mencecah kepada puluhan ribu ringgit. Oleh itu, pengurusan peminjaman peralatan secara sistematik amat penting bagi memastikan setiap alat dapat dikenal pasti, direkodkan, dipantau dan dipulangkan dalam keadaan yang baik selepas amali dilaksanakan oleh pelajar. Pengurusan yang kurang sistematik iaitu secara manual boleh menyebabkan proses peminjaman alat memakan masa yang lama, kesukaran dalam mengenal pasti status peralatan, pertindihan penggunaan, kesilapan rekod, kesukaran mengesan alat yang dipinjam serta kelewatan proses semakan pemulangan. Sehubungan itu, Survey Equipment Borrowing System (SEBS) dibangunkan sebagai satu inovasi digital untuk mengurus keseluruhan proses peminjaman alat ukur bagi aktiviti amali Kejuruteraan Awam. SEBS merekodkan setiap alat berdasarkan kod dan nombor siri serta menyediakan jejak rekod daripada proses permohonan sehingga alat dipulangkan. Sistem ini melibatkan tiga kategori pengguna utama iaitu Pentadbir, Pensyarah dan Pelajar, dengan fungsi yang disesuaikan mengikut tanggungjawab masing-masing. Dengan mengintegrasikan proses pendaftaran aset, pengurusan pengguna, penyediaan sesi amali, permohonan pinjaman, kelulusan, pengeluaran, pemulangan dan pelaporan dalam satu sistem, SEBS menyediakan satu kaedah pengurusan yang lebih sistematik. Keupayaan sistem untuk merekod alat berdasarkan nombor siri, mengawal ketersediaan unit, merekod keadaan alat serta menyediakan sejarah transaksi menjadikan SEBS berpotensi untuk menjadi satu penyelesaian digital yang praktikal dalam pengurusan peralatan amali. Secara keseluruhannya, SEBS bukan sahaja merupakan satu sistem peminjaman alat, malah merupakan satu pendekatan transformasi digital dalam pengurusan peralatan amali Kejuruteraan Awam yang berpotensi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kebolehkesanan pengurusan aset.