LAU CHEIW YUET SJKC KALUMPANG
GOLEK-GOLEK BOOM!
Transforming Abstract Mathematics into Meaningful Learning through Interactive Mechanical Learning Innovation
Matematik merupakan asas penting dalam perkembangan kemahiran berfikir murid. Namun, bagi murid Pemulihan Khas, penguasaan operasi tambah dan tolak sering menjadi cabaran kerana mereka memerlukan pengalaman pembelajaran yang konkrit sebelum memahami konsep abstrak. Pada awal tahun 2025, saya menerima empat orang murid Pemulihan Khas Tahun 2 yang gagal melepasi Ujian Pelepasan Pemulihan Matematik. Kesemua mereka tidak menguasai operasi tambah dan tolak dalam lingkungan 10. Walaupun pelbagai pendekatan telah digunakan seperti pengiraan menggunakan jari, bahan maujud dan latihan berulang, mereka masih gagal memahami konsep nombor, cepat hilang fokus serta kurang yakin terhadap pembelajaran Matematik.Berpandukan analisis ujian diagnostik dan pemerhatian PdP, saya mendapati murid sukar menghubungkait simbol nombor dengan kuantiti sebenar serta terlalu bergantung kepada pengiraan menggunakan jari. Kaedah pengajaran konvensional kurang memenuhi gaya pembelajaran visual dan kinestetik mereka. Keadaan ini mendorong saya membangunkan GOLEK-GOLEK BOOM!, iaitu inovasi pembelajaran mekanikal interaktif yang menggabungkan elemen didik hibur, pembelajaran manipulatif dan gamifikasi bagi membantu murid memahami konsep Matematik secara konkrit, menyeronokkan dan bermakna.Idea awal GOLEK-GOLEK BOOM! tercetus hasil pencarian pelbagai teknik pengajaran Matematik melalui media digital. Walau bagaimanapun, saya mendapati idea tersebut tidak dapat diaplikasikan secara langsung kepada murid Pemulihan Khas. Oleh itu, saya mengubah suai konsep tersebut dengan merekabentuk mekanisme pelancar guli yang disepadukan dengan aktiviti pembelajaran Matematik. Keseluruhan idea, reka bentuk mekanikal, susun atur laluan guli, aktiviti pembelajaran dan aplikasi pedagogi dibangunkan sendiri berdasarkan keperluan sebenar murid saya.Proses pembangunan inovasi ini mengambil masa hampir tiga bulan dan melalui lebih daripada sepuluh kali penambahbaikan. Reka bentuk awal didapati kurang stabil dan mudah rosak, justeru pelbagai penambahbaikan dilakukan terhadap struktur, sudut kecondongan papan, laluan guli dan mekanisme pelancar sehingga menghasilkan bahan yang lebih kukuh, tepat dan mesra pengguna. Ketika proses pembangunan berlangsung, saya sedang hamil 36 minggu. Disebabkan pergerakan yang semakin terbatas, suami membantu dalam pembinaan fizikal berdasarkan lakaran dan spesifikasi yang saya sediakan, manakala keseluruhan idea, konsep, reka bentuk dan proses penambahbaikan kekal dibangunkan oleh saya sendiri.Keberkesanan GOLEK-GOLEK BOOM! dinilai selepas pelaksanaan selama sebulan melibatkan empat orang murid Pemulihan Khas menggunakan Ujian Pelepasan Pemulihan bagi Kemahiran K4.1 (Operasi Tambah dalam Lingkungan 10) dan K5.1 (Operasi Tolak dalam Lingkungan 10). Data menunjukkan bahawa sebelum intervensi, kesemua murid (100%) memperoleh 0 daripada 4 markah bagi kedua-dua kemahiran tersebut. Selepas menggunakan GOLEK-GOLEK BOOM!, kesemua murid memperoleh 4 daripada 4 markah penuh, menunjukkan peningkatan penguasaan daripada 0% kepada 100%. Pemerhatian PdP turut menunjukkan murid menjadi lebih fokus, lebih yakin, kurang bergantung kepada pengiraan menggunakan jari serta lebih bermotivasi untuk menyelesaikan soalan Matematik. Dapatan ini membuktikan bahawa GOLEK-GOLEK BOOM! bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik, malah membina keyakinan diri, motivasi intrinsik dan keseronokan belajar dalam kalangan murid Pemulihan Khas.GOLEK-GOLEK BOOM! dibangunkan menggunakan bahan yang mudah diperoleh dengan kos penghasilan sekitar RM24 seunit. Produk ini ringan, tahan lama, mudah dibawa dan tidak memerlukan bekalan elektrik. Inovasi ini berpotensi dikembangkan sebagai DIY Learning Kit, Classroom Kit atau Premium Learning Kit untuk Program Pemulihan Khas, Prasekolah, Pendidikan Khas dan Tahap 1. Walaupun inovasi ini belum diterbitkan dalam jurnal atau prosiding, GOLEK-GOLEK BOOM! telah dibangunkan melalui pelaksanaan sebenar di bilik darjah dan menunjukkan impak yang positif terhadap pembelajaran murid. Inovasi ini berpotensi dikembangkan sebagai kajian tindakan, artikel amalan terbaik dan perkongsian profesional di peringkat daerah, negeri serta kebangsaan.Keaslian GOLEK-GOLEK BOOM! terletak pada proses pembangunannya yang berdasarkan keperluan sebenar murid. Walaupun inspirasi awal diperoleh melalui media digital, keseluruhan reka bentuk mekanikal, mekanisme pelancar, susun atur aktiviti, integrasi elemen didik hibur serta aplikasi pedagogi telah dibangunkan, diuji dan ditambah baik sendiri melalui proses reka bentuk berulang (iterative design). Inovasi ini bukan sekadar pengubahsuaian bahan sedia ada, tetapi merupakan satu penyelesaian pembelajaran baharu yang direka khusus untuk membantu murid Pemulihan Khas menguasai konsep asas Matematik secara konkrit, menyeronokkan dan bermakna. GOLEK-GOLEK BOOM! membuktikan bahawa inovasi pendidikan tidak semestinya memerlukan teknologi yang kompleks atau kos yang tinggi. Sebaliknya, inovasi yang berimpak lahir daripada kesungguhan guru memahami keperluan murid, membina penyelesaian yang sesuai dan menambah baik secara berterusan sehingga menghasilkan perubahan yang nyata. Selaras dengan aspirasi Pendidikan Abad Ke-21, inovasi ini bukan sahaja membantu murid menguasai operasi tambah dan tolak dalam lingkungan 10, malah berpotensi menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan yang lebih inklusif, lestari dan berimpak tinggi.
"Saya percaya setiap murid mampu belajar Matematik. Yang perlu berubah bukan potensi murid, tetapi cara kita mengajar."