PR189: FATAN 2.0 : Transformasi Digital Pelaporan Fasih Tilawah & Tajwid Al-Quran

ANIZAH BINTI ABU SAMAH SK BUKIT BARU, MELAKA

FATAN (Aplikasi Fasih Tilawah & Tajwid Al Quran) merupakan inovasi digital yang dibangunkan bagi menyelesaikan masalah pengurusan data pelaporan Al-Quran yang tidak sistematik, mengambil masa yang lama dan menyukarkan guru Pendidikan Islam mengenal pasti murid yang memerlukan intervensi. Platform ini mengintegrasikan proses merekod, menyimpan, menganalisis dan melaporkan perkembangan bacaan Al-Quran dalam satu sistem yang mudah digunakan. FATAN menyediakan paparan analitik prestasi, membantu penentuan intervensi secara bersasar serta menyokong penyediaan data bagi Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) Kementerian Pendidikan Malaysia dan pelaporan Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah. Uji lari yang melibatkan 13 orang guru Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan tahap sistematik pengurusan data daripada 42% kepada 96%. Purata masa pengurusan data turut berkurang daripada 25.0 minit kepada 11.6 minit, iaitu pengurangan sebanyak 53.6%. Selain meningkatkan kecekapan guru, FATAN memperkukuh pemantauan perkembangan murid dan perkongsian maklumat bersama ibu bapa. Inovasi ini berpotensi direplikasi di sekolah lain sebagai penyelesaian digital yang pantas, tepat dan berimpak bagi memperkasa pengurusan pembelajaran Al-Quran.

Kata kunci: FATAN, pengurusan data, pelaporan Al-Quran, analitik digital, intervensi murid.