TR242: MUSACA LIP BALM

NUR QISTINA SYASYA BINTI MOHD KHAIRI Kolej Vokasional (ERT) Azizah

Kajian ini dijalankan bagi memperkenalkan Musaca Lip Balm, satu produk inovasi penjagaan bibir berasaskan kulit pisang yang diformulasikan khas untuk mengatasi masalah bibir kering, mengelupas, dan gelap yang sering dialami oleh pelajar perempuan Kolej Vokasional (ERT) Azizah, khususnya dalam bidang Seni Kulinari dan Kosmetologi. Produk ini dibangunkan sebagai respons terhadap pernyataan masalah yang dikenal pasti, iaitu kurangnya kesedaran pelajar terhadap penjagaan bibir, penggunaan produk berasaskan kimia yang tidak sesuai, serta kekurangan produk semula jadi yang selamat digunakan oleh pelajar. Musaca Lip Balm menggunakan kulit pisang berangan sebagai bahan utama, dipilih kerana kandungan antioksidan, vitamin C, dan sifat anti-radangnya yang berpotensi melembapkan, mencerahkan, serta melindungi bibir daripada kerosakan. Kajian ini turut mengambil kira persekitaran pembelajaran pelajar yang sering terdedah kepada cuaca panas, penggunaan kosmetik dalam aktiviti amali, serta tabiat penjagaan diri yang kurang tepat. Responden kajian terdiri daripada pelajar perempuan Seni Kulinari dan Kosmetologi Kolej Vokasional (ERT) Azizah, yang sering berhadapan dengan masalah bibir kering akibat faktor persekitaran dapur dan cuaca. Melalui projek ini, pelajar didedahkan kepada penghasilan produk penjagaan bibir secara semula jadi, memberi mereka peluang memahami manfaat penggunaan bahan organik dan pentingnya amalan penjagaan diri secara sihat dan berkesan. Kesimpulannya, penghasilan Musaca Lip Balm bukan sahaja berjaya memberikan alternatif penjagaan bibir yang lebih selamat dan mesra alam, malah meningkatkan kesedaran pelajar terhadap penggunaan bahan semula jadi, mengurangkan kebergantungan kepada produk komersial berasaskan kimia, serta menyokong pendidikan berasaskan kemahiran di kolej. Produk ini diharap dapat menjadi contoh terbaik aplikasi inovasi berasaskan bahan tempatan yang bermanfaat untuk kesihatan dan alam sekitar.