TR16: Herb Sim4 Learning

NUR ADILA NADIRAH BINTI MOHD FAIZAL ANEMEE INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PERLIS

Herb Sim4 Learning merupakan satu inovasi pembelajaran digital yang dibangunkan bagi meningkatkan pemahaman murid Tahun 5 terhadap topik Pertanian Bandar dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Inovasi ini mengintegrasikan penggunaan laman sesawang berasaskan Google Sites dengan pengalaman pembelajaran autentik melalui kawasan fizikal yang dikenali sebagai Green Hydro Corner. Kawasan ini menempatkan sistem tanaman akuaponik yang membolehkan murid mempelajari konsep pertanian bandar secara hands-on dan kontekstual.

Laman Herb Sim4 Learning menyediakan pelbagai bahan pembelajaran interaktif seperti nota digital, video penerangan, gambar, aktiviti pengukuhan, kuiz serta pautan sumber pembelajaran yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Penggabungan elemen digital dan pembelajaran berasaskan pengalaman ini membantu meningkatkan penglibatan murid, memudahkan pemahaman konsep serta menggalakkan pembelajaran kendiri. Selain itu, Green Hydro Corner berfungsi sebagai makmal pembelajaran hidup yang membolehkan murid menjalankan pemerhatian, penjagaan tanaman dan penerokaan terhadap sistem akuaponik secara langsung.

Pelaksanaan inovasi ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik, bermakna dan berpusatkan murid. Herb Sim4 Learning juga menyokong pembudayaan teknologi digital dalam pendidikan selaras dengan keperluan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) dan agenda kelestarian alam sekitar. Inovasi ini berpotensi diperluaskan sebagai model pembelajaran digital yang efektif bagi topik pertanian bandar di sekolah rendah.