TR59: SMARTGUARD - Sistem Pengesanan Kerosakan Lampu Jalan

AHMAD YUSRI BIN MOHAMAD POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH

Lampu jalan merupakan komponen penting dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan pejalan kaki terutamanya pada waktu malam. Pencahayaan yang mencukupi dapat mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan tahap keselamatan persekitaran. Namun begitu, kerosakan lampu jalan sering berlaku dan pengesanannya masih bergantung kepada pemerhatian manual atau aduan pengguna. Keadaan ini boleh menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan kerja penyelenggaraan serta menjejaskan tahap keselamatan di sesuatu kawasan. Sehubungan itu, satu sistem inovasi yang dikenali sebagai SmartGuard dibangunkan iaitu sistem pengesanan kerosakan lampu jalan pintar yang bertujuan membantu mengenal pasti kerosakan lampu jalan secara lebih sistematik, pantas dan efisien. Sistem ini menggunakan pendekatan simulasi bagi memantau status operasi lampu jalan. Apabila kerosakan dikesan, sistem akan menghantar notifikasi secara automatik kepada pihak penyelenggara melalui aplikasi Telegram bagi membolehkan tindakan penyelenggaraan diambil dengan lebih cepat. Selain itu, maklumat berkaitan kerosakan seperti ID lampu, lokasi dan masa kejadian direkodkan secara automatik ke dalam Microsoft Excelbagi memudahkan proses pemantauan serta penyimpanan rekod penyelenggaraan secara sistematik. Pembangunan sistem ini memfokuskan kepada kawasan berskala kecil seperti lampu jalan di sekitar kawasan kamsis. Sistem ini dilaksanakan menggunakan model pembangunan Waterfall yang merangkumi fasa analisis keperluan, reka bentuk sistem, pembangunan, pengujian dan dokumentasi bagi memastikan pembangunan sistem dijalankan secara tersusun dan sistematik. Hasil pembangunan sistem SmartGuard dijangka dapat meningkatkan kecekapan pemantauan lampu jalan serta mempercepatkan tindakan penyelenggaraan sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang lebih selamat dan terurus. Di samping itu, sistem ini mempunyai potensi untuk diperluaskan penggunaannya kepada skala yang lebih besar seperti di kawasan perbandaran, kampus institusi pendidikan dan kawasan perumahan. Dengan kos pembangunan yang relatif rendah serta keupayaan integrasi dengan teknologi pemantauan digital, SmartGuard berpotensi untuk dikomersialkan sebagai satu penyelesaian sistem pemantauan lampu jalan pintar yang menyokong pembangunan bandar pintar pada masa hadapan.

Kata kunci: pengesanan kerosakan lampu jalan, pemantauan pintar, notifikasi automatik