NUR ALYA BINTI REDZAUDDIN Kolej Vokasional (ERT) Azizah
Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti tahap kepuasan pengguna dalam kalangan
pelajar yang aktif melakukan aktiviti fizikal di Kolej Kediaman Kolej Vokasional (ERT)
Azizah, Johor Bahru terhadap pelaksanaan projek produk “Ayaura Grape Heels
Balm” yang berasaskan bahan organik iaitu minyak biji anggur. Produk ini merupakan
sejenis balm penjagaan tapak kaki yang diformulasikan khas untuk membantu
merawat dan melegakan masalah kulit kering serta merekah pada tumit kaki.
Masalah utama yang dihadapi responden termasuk tumit kaki yang mudah kering
dan merekah akibat berjalan jauh, berdiri lama, serta pemakaian kasut yang tidak
sesuai, sekali gus menjejaskan keselesaan dan keyakinan diri, terutamanya apabila
memakai kasut atau sandal terbuka. Minyak biji anggur dipilih sebagai bahan utama
kerana kandungan nutriennya yang tinggi, termasuk antioksidan seperti vitamin E
dan asid lemak penting yang berfungsi melembapkan kulit, memperbaiki tekstur,
mengurangkan iritasi dan melindungi kulit daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Latar belakang kajian ini berpunca daripada pemerhatian terhadap pelajar kolej
kediaman yang aktif dalam aktiviti sukan, kokurikulum dan rutin harian yang
memerlukan pergerakan berterusan, di mana tekanan berulang pada tumit,
pemakaian kasut yang tidak sesuai, serta ketiadaan amalan penjagaan kaki secara
konsisten menjadi faktor utama masalah tumit kering dan merekah. Sehubungan itu,
“Ayaura Grape Heels Balm” dibangunkan sebagai produk penjagaan kaki yang
inovatif, praktikal, selamat, mesra alam dan berkesan, dengan harapan dapat
meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kaki, menggalakkan
amalan penjagaan diri secara berterusan, serta membuka peluang kepada produk
tempatan berkualiti tinggi untuk menembusi pasaran yang lebih luas.