PR173: EID-Varsity: Platform Analisis Risiko Emosi Real-Time Dan Intervensi Kendiri Mahasiswa

PROF. MADYA DR. SITI SARAWATI JOHAR UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA (UTHM)

Kesejahteraan emosi dan kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa pengajian tinggi kini menjadi fokus utama dalam melahirkan modal insan berdaya tahan dan berdaya saing. Cabaran tekanan akademik, penyesuaian sosial, dan pengurusan kendiri sering mendatangkan risiko emosi jika tidak dikesan dan diuruskan di peringkat awal. Sehubungan itu, EID-Varsity dibangunkan sebagai sebuah platform digital bersepadu yang menyediakan sistem pentaksiran emosi, analisis risiko secara real-time, dan sokongan intervensi kendiri khusus untuk mahasiswa universiti atau kolej. Keunikan utama sistem ini terletak pada pemacu ukurannya, iaitu Instrumen EIDinv, sebuah alat ukur psikologi yang dibangunkan secara khusus oleh penginovasi dan dilindungi di bawah Hak Cipta (Copyright). Bagi menjamin kesahan saintifik dan akademik yang tinggi, instrumen ini diadaptasi berasaskan kerangka Mayer-Salovey-Caruso Emotional Intelligence Test (MSCEIT), yang menilai kecerdasan emosi berasaskan kebolehan (ability-based EQ) menerusi keupayaan mengamati, menggunakan, memahami, dan mengurus emosi. Berpaksikan kerangka kukuh ini, EIDinv diolah untuk menilai tiga dimensi utama secara komprehensif mengikut konteks sasaran iaitu Domain Emosi, Domain Kesedaran Kendiri, dan Domain Kesejahteraan Emosi. Melalui ekosistem digital berasaskan awan (cloud-based ecosystem), data jawapan mahasiswa diproses secara automasi bagi menjana profil emosi peribadi, skor agregat, serta notifikasi cadangan intervensi kendiri secara serta-merta (real-time). Di samping itu, platform ini menyediakan paparan dashboard berpusat untuk pihak pengurusan pengajian tinggi memantau trend kesejahteraan emosi mahasiswa secara holistik tanpa mengompromi kerahsiaan individu. Pembangunan EID-Varsity secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya SDG 3 (Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan) menerusi penjagaan kesihatan mental secara proaktif, serta SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran kampus yang lebih kondusif hasil daripada kestabilan emosi mahasiswa. Impak utama inovasi ini terletak pada keupayaannya menukarkan kaedah penilaian emosi konvensional kepada pendekatan digital bersifat pencegahan awal (preventive mechanism). Dengan potensi pengkomersialan tinggi di peringkat institusi pendidikan tinggi dan pendaftaran Cap Dagangan (Trademark), EID-Varsity berupaya menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem kesejahteraan mahasiswa yang mampan, beretika, berteraskan teknologi, dan pelapis generasi yang dinamik.